Wednesday, June 29, 2011

Karipap Oh Karipap

Chef kecil ini memang tak pernah tak mengambil bahagian kalau ibunya buat kuih. Wajib sediakan sebahagian kecil untuk dia kerjakan. Sebahagian kecil okeh. Kalau 'sebahagian' alamaknya masuk bakul sampah la hasilnya. Bila abinya taruk tepung dia pun seboklah nak taruk tepung jugak. So, sediakan awal-awal untuk dia sepahkan.

Kalau dengan abinya dia tak banyak sangat songeh. Tapi kalau dengan ibu, semuanya dia nak. ikut. Jadi supaya tak bersepah sangat, Mr Abe lah yang uli tepung ni yeh. Ibu goyang kaki sambil tengok TV sahaja. Senangnya dalam hati.Hahaha....

Dah siap uli, kerja saya taruk inti dan goreng sahaja. Lepas tu ngap la, apa lagi. Yang kecik-kecik 2-3 ketul tu saya taruk serunding ikan untuk Princess najla. Kalau bagi yang berinti kentang tu confirm dia makan pastrynya je.

Yang melayan dia mengada-ngada Cik Dah dia la. Kalau ada Cik Dahnya dah tak hiraukan ibu ngan abi dah. Sampaikan Cik Dah nya kengkadang surrender sebab si kecik ni selalu mengekor dia je. Hehehe...

Nampak tak sofa saya yang dah terkopek covernya tuh. Kerja siapa lagi kalau bukan si kecik nih. Malas saya nak tukar baru. Tunggu parah dulu la. Itu kehendak, bukan keperluan. Hahaha....alasan saya je tuh. Selamat poket Mr Abe ye.

Budak Kicap

Semenjak dua menjak ni Princess Najla sangat suka dengan kicap. Tak tahu lah mewarisi perangai sapa. Saya dan Mr Abe bukan obses sangat dengan kicap ni. Kami kecik-kecik dulu makan nasi dengan budu. Anak KL la katakan.Hehehe....dia belum pernah makan budu. Tapi satu hari nanti mesti saya akan bagi dia rasa jugak. Makan budu bagus tau. Banyak kebaikannya. Ada protein, vitamin dan serat yang baik. Kalau ada sesapa yang belum pernah makan budu tu cubalah rasa. Jangan takut, ikan bilis je pun.

Eh, tercerita pasal budu la plak. Sebenarnya nak cerita pasal kicap. Hahaha.....

Si kecik Najla ni start suka kicap bila saya bagi dia makan telur dengan kicap. Saya perasan dia akan jilat kicap tu dulu barula dia makan telur rebus tuh. Siap jilat sisa kicap yang ada kat tutup botol. Yang dia suka sangat dengan kicap manis Adabi. Senyap-senyap dia bukak fridge nak ambil botol kicap je. dia sendiri tahu nak ambil kicap yang mana. Yang masin memang dia tak sentuh. Tahu je ye..

Sebab dia ni susah sangat nak makan nasi sebelum ni, saya taruk je kicap banyak-banyak dalam nasi dia. Dah macam kuah la plak. Time mood dia ok, elok je dia makan nasi tu. Tapi kalau mood dia tanak makan memang dia kuis nasi ke tepi and dok makan kicap je. Adohai....

Lutut tu tersengeh je. Kalau dah dapat kicap memang tak ingat apa dah. Time ni mood makan nasi. So, habisla nasik tuh. Kalau tak memang kicap je jadi tumpuan.

Muka budak yang kekenyangan. Sangat suka dengan kicap. Abes comot muka. Nampaknya ibu kene beli kicap sebotol untuk kat rumah pengasuh Najla.

Monday, June 27, 2011

Temuduga Terbuka - Wajib Hadir

Ingin saya kongsikan bersama anda yang saya petik dari web Ust Azhar. Ustaz yang tersohor, bekeng tapi suka melawak.

Temuduga Sbg “Calon Jenazah”
Semua Akan Dikehendaki Hadir Tanpa Sebarang Pengecualian

Kekosongan Jawatan:

1. Ahli Syurga Dari Awal.
2. Ahli Neraka Dari Awal.
3. Ahli Neraka Sementara .. Kemudian Akan Dilantik Jadi Ahli Syurga.

Empat Ganjaran Lumayan (Khas Untuk Jawatan 1)

1. Nikmat Kubur.
2. Perlindungan Di Padang Mahsyar.
3. Keselamatan Meniti Titian Sirat.
4. Syurga Yang Kekal Abadi.

Tarikh Temuduga:
Bila-Bila Masa Secara Adhoc Bermula Dari Saat Membaca Iklan Ini.

Lokasi Temuduga:
Di Dalam Kubur (Alam Barzakh).

Kelayakan:
Anda Tidak Perlu Bawa Siji-Sijil,Termasuk Sijil Saham Termasuk Saham Internet.
Anda Tidak Perlu Bawa Pingat , Mercedes Mata Belalang Atau Kad Kredit.
Anda Tidak Perlu Bawa Wang Atau Harta Serta Emas Yang Anda Kumpul.
Anda Tidak Perlu Berparas Rupa Yg Cantik, Hensem Atau Berbadan Tegap Atau Seksi.
Sila Bawa Dokumen Asal Iaitu : Iman Dan Amal Serta Sedekah Jariah Sebagai Sokongan.

Panel/Penemuduga:
Mungkar Dan Nakir.

Enam Soalan Bocor:

1. Siapa Tuhan Anda?
2. Apa Agama Anda?
3. Siapa Nabi Anda?
4. Apa Kitab Anda?
5. Di Mana Kiblat Anda?
6. Siapa Saudara Anda?

Cara Memohon:
Anda Cuma Perlu Menunggu Penjemput Yang Berkaliber Untuk Menjemput Anda. Ia Akan Menjemput Anda Pada Bila-Bila Masa Saja (Mungkin Sekejap Lagi). Ia Akan Berlembut Kepada Orang-Orang Tertentu Dan Akan Bengis Kepada Orang-Orang Tertentu. Ia Diberi Nama Izrail.


Friday, June 24, 2011

'Teresek' Jantung Pisang


Ini memang favourite saya nih. Kalau balik kampung memang selalunya saya request ngan mek saya. Sebutnya mungkin berbunyi pelek sikit. Tapi kalau saya makan memang sampai menjilat jari la. Saya tengok dalam fridge masih ada lagi jantung pisang yang mek saya bawa dari kampung masa datang untuk event adik saya hari tu. So, apa lagi, dari di biarkan busuk or kering ceng gitu je dalam fridge tu baik saya try masak kan.

So, ape lagi.....dail je nombor telefon abah and "hello...mek masak teresek sedap la. kalu sah nak masak cemane eh?...."hehehhe....itu memang biasa berlaku ye. Asal nak masak benda yang tradisional sikit je mesti telefon chef di kampung. Then tulis je cara nak buat atas buku conteng Najla. Lepas dah masak resepi ntah kemana. kalau nak masak kali ke dua call lagi mek kat kampung. Itu namanya mengoptimumkan penggunan telekomunikasi.Hahahha......

Meh saya tulis cara-cara nak buat ni. Lain kali kalau saya nak buat lagi saya dah tak perlu telefon mek lagi. Belek sini je.

Bahan-Bahan
1. Jantung pisang - 1 1/2
2. Semangkuk isi ayam yang dipotong kecil
3. Bawang merah - 5 ulas
4. Bawang putih - 4 ulas
5. Santan - 1 biji kelapa
6. Serbuk kari - 2 sudu besar
7. Lengkuas - 1/2 cm
8. Kunyit - 1/2 cm
9. Halia - 1/2 cm
10. Ketumbar - 1 sudu kecil
11. Kerisik - 2 sudu besar
12. Gula dan garam
13. Cili - 7 biji
14. Asam keping

Cara-cara
Celur jantung pisang dan ketepikan. Kisar semua bahan di atas dan masukkkan dalam periuk berserta santan. Kacau sentiasa. Masukkan isi ayam. Setelah isi ayam masak bolehlah dimasukkan jantung pisang yang telah dicelur tadi. Perasakan dengan gula dan garam. Masak dengan api yang sederhana dan biarkan santan agak kering

Nota: teresek biasanya tak banyak kuah macam kari

Wednesday, June 22, 2011

Klasik Yo


Anda tahu apakah nama benda alah ni? kalau di Kelantan kami panggil 'kore'. Huruf 'k' tu sila sabdukan untuk sebut dengan betul ye. Jangan di tambah 'k' kat belakang pulak. Tu dah lain maksudnya.

Secara umumnya mungkin dipanggil parut kelapa kot. Saya rasa dah susah nak jumpa benda ni sekarang ni. Sebab sekarang majoriti orang pakai mesin kelapa. Tapi ditengah2 bandar kuala Lumpur ni benda ni masih boleh dijumpai. Kat mana nak cari? Meh la rumah saya. hehehe....mek saya pinjamkan benda ni. Pinjam okeh. Maksudnya kena pulangkan balik. Mek saya pun sayang sebenarnya nak bagi. Sebab tu adik beradik saya yang lain cukup jeles kalau datang rumah tengok benda ni ada rumah saya. Saya pandai buat cerita kesian okey. So, mek saya bagi saya guna sementara. Ahaks....suka betul acik.

Princes Najla pun suka sangat kalau saya keluarkan benda ni. Sebok la dia nak duduk atas tuh. Tiap kali tu jugakla ibunya akan ambil masa yang lama untuk kukur kelapa. Kena besilat bagai dulu dengan Najla. Mane taknya, tangan kecik tu sebok je nak pegang jugak kelapa. Haish....ni yang buat kerja ibu selalu lambat nih. Jadual makan nasi dah teranjak ke pukul 10 pm. Hahahah...jangan marah ye Mr Abe. Najla yang kacau.

Kalau kereta lumpa kat F1 tu selalu ade model yg come lote kan. Model 'kore' saya pun come lote jugak. Peace.....

Tuesday, June 21, 2011

Doa Solat Sunat Dhuha


“Ya Allah, sesungguhnya waktu dluhaa adalah waktu dluhaa-Mu, keagungan adalah keagungan-Mu, kebagusan adalah kebagusan-Mu, kekuatan adalah kekuatan-Mu, kekuasaan adalah kekuasaan-Mu, penjagaan adalah penjagaan-Mu. Ya Allah, apabila rizqi kami di atas langit, turunkanlah, bila dalam bumi, keluarkanlah, bila sukar, mudahkanlah, bila haram, sucikanlah, bila jauh, dekatkanlah, dengan hak waktu dhuhaa, keagungan, kebagusan, kekuatan dan kekuasaan-Mu. Berilah kepada kami apa-apa yang telah Engkau berikan kepada hamba-hamba-Mu yang shalih-shalih.”


Saya terpikat dengan doa dhuha ini selepas dengar nasyid dendangan kumpulan UNIC. Sebelum ni kalau saya solat dhuha saya tak tahu pun dia ada doa khas. Sungguh jahil saya. Walaupun saya tahu kita boleh doa dan mintak apa saja pada Allah tapi kalau ada doa tertentu lagi baik kita baca kan? Sungguh kerdil dan jahilnya saya rasa. Dah 30 tahun hidup di bumi Allah baru jumpa doa Dhuha. Malunya .......

Tapi ibarat kata Irfan Khairi, tiada istilah terlewat bagi melaksanakan sesuatu yang baik. Kerana sekurang-kurangnya kita menjumpai dan melaksanakan sesuatu yang baik semasa kita hidup. Jadi, pelaburan yang baik tidak menunggu masa yang terbaik. Ia adalah masa sekarang, kini dan saat ini.

Pening tak baca ayat saya? Hehehe...pendek kata saya nak cakap let's do it now. Sebab kita dah tak dapat pusingkan waktu. Jadi, bila kita sedar yang kita dah terlewat, jangan bertangguh lagi. Lakukannya sekarang.

Bermulanya fasa kehidupan yang bermula dengan angka 3, saya harap ianya akan menjadi amalam harian saya. Sebab umur saya dah berada di waktu 'Zuhur'. Kena perbaiki amalan wajib dan perbanyakkan yang sunat. Semoga Allah mempermudahkan.

Di sini saya kongsikan beberapa info berkenaan solat Sunat Dhuha untuk sama-sama kita manafaatkan. Insya Allah ...

Waktu mengerjakan Solat Dhuha

Menurut hadith Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.”

Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).

Menurut pandangan lain:-

- Waktu Dhuha bermula sejam selepas syuruk, dan berakhir setengah jam sebelum masuk waktu Zuhur.

- Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.


Cara melakukan solat Dhuha

1. Rakaat pertama

  • Membaca al-Fatihah
  • Membaca Ayatul Kursi
  • Membaca Surah Al-Syams

2. Rakaat kedua

  • Membaca al-Fatihah
  • Membaca Surah ad-Dhuha
Hadis Berkisar Solat Dhuha

“Pada tiap-tiap pagi lazimkanlah atas tiap-tiap ruas anggota seseorang kamu bersedekah; tiap-tiap tahlil satu sedekah, tiap-tiap takbir satu sedekah, menyuruh berbuat baik satu sedekah, dan cukuplah (sebagai ganti) yang demikian itu dengan mengerjakan dua rakaat solat Dhuha .”

(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan.”


Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”

(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)

Sunday, June 19, 2011

TANAMAN SAYA

Wah.......bunyinya macam saya ni pekebun yang berjaya. Padahal 2-3 pokok je yang saya tanam. Harini ni terasa macam nak berkongsi apa yang saya dah tanam. Sekadar perkongsia untuk menyemarakkan semangat untuk hijaukan bumi. Ok,jom kita lihat apa yang saya dah tanam ye.

Justify Full
Pokok keledek ni baru je saya pindahkan. Tu yang rupanya layu semacam. Mula-mula saya tanam dekat dengan pokok kangkung & pokok pandan. Sekali saya tengok pokok pandan & kangkung saya dah macam nak mati plak. Pokok keledek ni cepat je menjalar. Tu yang saya pindahkan. Kang tak bleh makan kangkung nanti

Kan betul saya cakap. POkok pandan saya ni tak berapa nak subur je nampak. Habes nutrien kene serap dek keledek tu. Harap-harap pasni pandan ni boleh membiak lebih baik. Saya memang selalu guna pandan ni. Nak buat kueh la, masak pengat la. Macam-macam lagi lah. Pokok kangkung yang tinggal hanya beberapa helai je tuh. Kesian .....


Dari kiri ke kanan- pokok pudina, halia, anak cili yg baru je naik, kunyit, daun cekur dan aloe vera. Pokok pudina tu saya beli masa ke cameron Highland haritu. Saya pun tatau nak guna time bila pokok tu. Belum pernah lagi hayat hidup saya guna daun pudina dalam masakan ke apa. Anak cili tu pulak tumbuh bila saya campak cili yang dah busuk dalam tu. Malas nak buat tempat semaian, saya campak je. Nanti bila dah besar sikit baru saya alihkan.


Ni pulak pokok labu. Ada tiga lubang je. Asalnya biji labu tu saya try campak je kat situ. Tak sangka pulak tumbuh anak pokoknya. Bila saya alihkan 2 anak pokok tu saya tengok pertumbuhannya tak berapa bagus macam yang tumbuh kat tempat asal tu. Ntah kat mana silapnya. Padahal saya taruk je baja.

NI pulak saya tatau nak cakap pokok apa. Sebabnya bila saya tanya orang kat sini dieorang tatau ni pokok apa. Tengok rupa memang macam pokok kunyit, tapi bukan. Bila sentuh daunnya akan keluar bau yang macam sejenis serangga. Kami kat kampung panggi pokok 'pijat. 'P' itu sila sabdukan ye. Baru betul cara sebutnya. Biasanya kami letak dalam masak gulai tempoyak. Gulai tempoyak mek saya memang femes. Tak sah kalau tak letak daun pokok pijat nih.

Ni pulak pokok kacang parang. Benihnya saya ambil dari rumah kakak saya di Yong Peng. Sayapun baru je kenal sayur nih. Sedap jugak bila kakak saya goreng masa kami ke sana. Tu yang saya pun bawak benihnya untuk di tanam. Mr Abe tengah skodeng sayur ni yang dah keluarkan bunga. Tak lama lagi keluarlah buahnya. Paranya memang sangat rendah. Takde kayu la nak buat para. Nasib baik la jugak ada yang setinggi paras pinggang tuh. Kalau tak alamatnya menjalar atas pokok manggis la kacang parang nih.

Yang takde dalam entry ni ialah pokok lengkuas, daun kesum,tebu, nenas, bendi, terung dan ubi kayu yang pernah kene 'usik'. Tapi la ni dah besar. Nak ambil pucuk ubi wat masak lemak pon boleh dah. Tapi saya tak ambil gambarnya sebab kawasan tu dah penuh dengan rumput. Daripada mencacatkan pandangan baik saya tak letakkan kan. Yang pokok terung & bendi tu pulak saya nampak cam dah kekuningan je daunnya. Tak cantik dah. Hehehe.....

Wednesday, June 15, 2011

Bercanda Di Cameron Highland

Saya ni memang jarang sangat pergi bercuti. Memandang kan mek saya pernah sebut nak ke Cameron Highland sebelum ni maka saya rasa kesempatan ini sangat sesuai untuk ke sana. Balik dari majlis tamat latihan adik bongsu, kami terus ke sana. Pertama kali weh saya ke sana. Mak ai jalannya buat saya pening2 lalat. Jadi alasan pening & tak cukup tidur adalah alasan yg terbaik untuk saya lena. Malam sebelumnya saya tido jam 3 pagi dan bangun jam 4 pagi gara-gara nak siapkan bekal dan makanan Chik punya pasal. Ha.....demo tak tahu betapa sayangnya kakak demo kat demo ni dik oii. Sanggup tak tidur tau.

Jakun sekejap la saya dah sampai sana. rasa cam tanak pijak je lantai apartment tu. Agaknya orang-orang kat sini gi kerja pagi2 mandi tak? Macam la heater takde kan ..... berangan sekejap seolah-olah di musim dingin kat London. Hehehe....tula pemikiran orang kolot cam saya nih.

Mak dan kakak saya memborong sakan. Abah borong madu sampai 6 botol. Katanya boleh balik jual kat kampung pulak. Mek pulak borong sayur yang macam-macam. Padahal bukannya dia tak tanam sayur. Dah la dok bedua je kat kampung tuh. Sape la nak mengabehkan. Katanya jiran ramai. bagi jela sikit sorang. Dapat gak pahala. Insya Allah....

Kakak saya lagi lah banyak. Rumahnya dikelilingi dengan adik-beradik belah abang ipar saya. So, tak boleh beli sikit-sikit. nanti kang ada yang terasa hati bila tak dapat buah tangan dari sana. Adohai...saya yang sakit kepala tengok dia belanja.

Saya memang budget nak jalan-jalan je. Beli strawberi cukup la. Kang tak leh nak bayar sewa apartment plak. Hehehe....lagipun mek dah bawak banyak sayur dari kampung. tak terhabis rasa nak makan berdua ngan Mr Abe.

Anak buah yang macho lagi segak itu memang 'driver' khas di import dari Kota Bharu ye. Walau abahnya tak harap die bawak kereta tapi adik saya dera dia bawak sampai la ke tanah tinggi ni. Dia bawak elok jer. Abahnya je yang tak percaya pd kebolehan anak 'jantan'nya ni ha.

Beli kaktus je yek. Sebab senang nak jaga. Tak siram pon takpe. Lantak la nak hidup ke tanak. hehe...beli untuk suke-suke je. Saya tak minat sangat tanam bunga-bungan nih. Malas nak jaga. Baik tanam sayur plak.

Pokok bunga di depan kami itu hanya hiasan semata-mata untuk mencantikan pemandangan yang dah memang sedia cantik. Tapi pokok pudina tu memang saya beli. Lepas ni kunyah daun pudina je. Tak payah beli ubat gigi dah. Hehehe....

Terima kasih ye Mr Abe bawak kami jalan-jalan ke sini. Dia kata nak ambek gambo paling macho. Hehhe...macho ke bang?

Si kecik ni pon pandai pulak nak mintak ambil gambar kat sini. Suka hati je mintak strawberi banyak-banyak tapi saebijik pon adik tak habiskan. Last2 ibu yang habiskan. Buat coklat sendiri kat rumah. tinggal 3 biji je lagi untuk Mr Abe. Kahkahkah...

Monday, June 13, 2011

Hero Kami

Selamat pagi semua. Hati saya masih berbunga riang. Masih berbaki senyuman kelmarin. Kami baru sahaja balik dari meraikan hari bersejarah adik bongsu kami. Hanya air mata yang dapat menggambarkan bahawa kami sangat bangga dengan kejayaannya. Kebanggaan itu dikongsi dengan mek dan abah kami apabila mereka turut dirai dengan menjadi tetamu VIP hari tu. Mek dan abah dijemput makan semeja dengan Datuk Panglima Tentera Udara. Kata mek, tak tahu nak cakap apabila orang bersilih ganti mengucapkan tahniah kepadanya. Tak pernah disangka dia yang bergelut dengan tanah dan selut setiap hari dapat makan semeja dengan orang kenamaan. Tahniah mek dan abah.

Mek sampai tak tidur malam menyiapkan makanan kegemaran chik. Itu panggilan manjanya dalam keluarga kami. Lepat labu, pulut panggang, gulai tempoyak. Semua tu makanan kegemaran anak bongsunya. Teringat pulak cerita Tanggang bila dia siapkan semua tu. Nasib baik la Chik bukan tanggang. Semua yang mek bawak chik makan. Berselera sungguh.



Katanya dia kene jaga makan dah hampir sebulan. Makanan berminyak & ais tak boleh sentuh. Sebab kene jaga suara. Ye lor, nak soh semua 360 perajurit muda boleh dengar suaranya bagi arahan hari tu. Kuat sungguh suara dia. Saya nak tergelak jugak tengok dia kawad. Dah macam kartun pocoyo plak. Patutla dia suka tengok kartun tuh.

Saat gemilang dia dinobatkan sebagai perjurit terbaik. Tahniah dik. Gambar dari web TUDM pula di sini.

Abang dia gi ambil gambonye kat depan pon die buat donno je. Tak toleh or senyum langsung. Dah macam patung. Cayalah bro

Kami berkongsi kegembiraan kejayaan si dia. Terbangla setinggi burung di awan. Tapi jangan sampai lupa rumput di bumi.

Kakak dan abang saya masih berduka dengan kehilangan Adik Wafa. Hanya anak buah yang menjadi pengubat lara di hati. Semoga Allah memperkenankan doa kami agar hati mereka terus kuat dan diberikan pengganti zuriatnya yang telah pergi.

Kan betul jalannya macam kartun pocoyo.Hehehe....

Si kecik ni dah boring. Asyik kene control je. Tak boleh jalan merata-rata sebab orang ramai. Time ni dia cakap 'tanak ambek gambooo'

Hanya 2 orang ni je yang masih bujang dalam keluarga kami. Si kakaK cepat-cepat la cari pasangan ye. Kang ade jugak lagi sorang adik langkah bendul ni.

Monday, June 6, 2011

Perubahan Angka

Alhamdulillah...pagi ni telefon dan wall FB saya diterjah dengan ucapan dari kawan2 dan saudara-mara yang mengingati hari kelahiran saya. Terima kasih ya semua atas doa dan ingatan kalian.

Dari tarikh dan saat ini, tiada lagi angka 2 pada pangkal umur saya. Agak terkesima sekejap. Dah tak boleh nak sebut saya berumur dua ploh dot dot dot. Angka 2 dah bertukar menjadi 3. Adohai, terasa macam dah tua la. Hihihi...macam tanak terima hakikat je rasa. Bila berbahasa dengan orang yang saya baru kenali dan agak umur lebih kurang, saya biasa bahasakan dirinya 'kakak'. Macam tu jugak kalau orang tu ada anak dua atau 3. Tapi sekarang ni saya tak leh simply panggil orang kakak sebab mungkin saya yang kakak. Ayayayaya...dah tua,dah tua,dah tua.

Kene sebut dah tua tu banyak kali supaya saya sedar diri. Atau kene pelempang sekali supaya saya dah tak perasan muda lagi. Umur dah 30, anak baru sorang. Ada masa seploh tahun je lagi untuk beranak. Kalau 3 tahun sorang anak, maksudnya saya berpeluang untuk beranak 3 orang lagi. Amin.....amin.....pstt: saya berangan nak anak 5-6 orang. Ramai baru meriah kan? Semoga Allah memberkati.

Dah 30 tahun jugak saya hidup kat muka bumi ni. Sejauh mana agaknya amalan hidup saya? Saya takut untuk mengadap Allah andai Allah mengambil nyawa saya saat ini. Amalan terlalu sedikit berbanding larangan Allah yang saya dah langgar. Dah banyak yang saya lalui sepanjang 30 tahun saya hidup ni. Alhamdulillah perjalanan hidup saya tidak sesukar kehidupan orang lain. Bila saya melihat ke bawah, saya jauh lebih beruntung dari insan yang lahir dalam keluarga yang berantakan. Saya dikurniakan nikmat sihat yang lebih bermakna dari kemewahan. Hidup saya sempurna dengan keluarga yang bahagia dan saling menyayangi. Tiada kata yang lebih indah melainkan kata-kata syukur atas nikmat pemberian Allah ini.

Saya melalui zaman kanak-kanak yang sungguh indah. Seorang anak kampung yang lahir di sebuah kampung yang terpencil di bumi Cik Siti Wan Kembang. Hidup dalam sebuah keluarga yang sederhana dan mempunyai adik beradik yang ramai tidak menghalang saya untuk menjejakkan kaki ke menara gading. Zaman remaja saya dikawal ketat oleh abah saya yang amat menitik beratkan pelajaran dan supaya saya tidak hanyut dengan cinta monyet. Di bumi UTM saya belajar untuk hidup berdikari dan kali pertama meninggalkan kampung halaman. Bergaul dengan rakan-rakan dan kakak senior yang sentiasa menekankan aspek kerohanian telah banyak membentuk peribadi saya.

Warna 'kehidupan sebenar' saya tercorak di bumi Kuala Lumpur. Di sini kerjaya saya bermula. Dari sebuah syarikat yang mempunyai 2 orang staff dan kini dah boleh berbangga dengan bangunan sendiri. Di sini saya pernah tersalah langkah dalam usaha mencari ilmu Allah. Alhamdulillah Allah tidak membiarkan saya hanyut lama dalam sebuah perjuangan yang kosong. Di sini juga saya bertemu cinta hati saya yang menjadi insan pertama bertakhta di hati. Dia yang pertama dan Insya Allah yang terakhir. Dialah yang telah menjadi Abi kepada seorang puteri comel bernama Ainun Najla. Dan kami bahagia dengan keluarga yang serba sederhana ini. Semoga kebahagiaan ini berkekalan dan sentiasa dalam rahmat Allah Taala.

Dan...saya mengharapkan sesaat kedepan dan hari2 mendatang merupakan saat dan hari yang lebih baik dari semalam. Amalan yang lebih baik, senyuman yang lebih indah, hati yang lebih jernih dan jiwa yang lebih tenang. Aminn...

Wednesday, June 1, 2011

PERAJURIT MUDA TERBAIK KESELURUHAN SIRI 44/2011.....DIA ADIKKU


Masya Allah !!!! Muhammad Tarmizi Bin Hashim...ADIKKU.....saya terjerit kegembiraan tengok gambar adik saya yg sangat la saya rindui dalam sisipan Mega Utusan Malaysia sempena hari TUDM semalam. Apatah lagi bila mek saya sendiri tengok gambar anaknya tu kan? Macam manela reaksi mek agaknye. Saya yang jadi kakak ni pun boleh sebak dengan prestasi yang dia tunjukkan. Sungguh saya tak sangka dia yang satu masa dulu yang sangat saya bimbangkan tentang masa depannya akhirnya akan buat kami bangga dengan pencapaiannya. Saya pernah ceritakan kisah tentang kunjungan saya ke kem latihannya di sini.

Alhamdulillah dik. Kami sangat bangga dengan kamu. Suatu masa dulu kamu pernah diperhati oleh polis kerana asyik merayau dalam kampung. Tak kerja, asyik melepak dan merempit. Suatu masa dulu kamu pernah hanyut dan kecundang dalam pelajaran. Suatu masa dulu kamu pernah kerja buat tiang roman dan menoreh. Suatu masa dulu kamu sering membuat ibumu pening memikirkan masa depanmu. Suatu masa dulu kamu asyik menghabiskan duit tanpa memikirkan apa yg akan terjadi di masa depan. Suatu masa dulu kamu memang liat untuk solat. Pernah juga penumbuk sulungmu singgah di muka abangmu kerana mempertahankan kebenaran apabila ada yang menyebar cerita palsu.

Tapi suatu masa dulu kamu juga pernah jadi pemidato sekolah sebelum kamu tersalah memilih kawan. Pernah juga mewakili sekolah dalam pertandingan lakonan untuk projek Sains. SPM mu walau tak sehebat orang lain tapi kalau di kira pangkat masih di pangkat 1. Suatu masa dulu kamu juga peneman setia ibumu 'menghadap' pokok getah dan menjaga lembu. Suatu masa dulu....itu suatu masa dulu. Cerita yang lepas yang banyak mengajar kamu erti kedewasaan.

Hari ini, kamulah anak pertama dalam keluarga yang muncul di surat khabar. Walau hanya dalam cebisan yang kecil, walau hanya ia secara kebetulan kerana menyambut hari TUDM, tapi itulah kamu hari ini. Adik K.Sah, adik kami, anak mek dan abah. Kami bangga dengan kamu dik. Bangga dengan gelaran PERAJURIT MUDA TERBAIK KESELURUHAN SIRI 44/2011.

Tak sia-sia kak sah cadangkan supaya kamu hadir temuduga hari tu. Walau kejayaan ini hanya kecil di mata orang lain, tapi ia sangat besar di mata kami. Kerana kami mengenali kamu dan tahu setiap sejarah kamu. Tapi kami takkan kenang sejarah pahit yang lalu kerana kami mahu kamu terus bangkit berjuang dan maju kehadapan. Tahniah dik. Kak Sah tak sabar nak tengok adik Kak Sah segak di hari tamat latihan. Kak Sah tak sabar nak tengok adik Kak Sah terima anugerah di hari itu kelak. Hanya tinggal 10 hari lagi untuk hari bersejarah itu. Alhamdulillah ....