Monday, May 2, 2011

Runtun Hati Ini .....

Tak lama lagi kita akan menyambut Hari Ibu kan? Alhamdulillah saya masih lagi mempunyai dua insan untuk di panggil ibu. Mek di Manek Urai dan Mok di Tumpat. Dua insan ini sangat memberi erti dalam hidup saya. Insan yang banyak mengajar saya untuk menjadi isteri yang solehah dan ibu yang tabah. Tak dapat saya bayangkan andai suatu masa mereka pergi meninggalkan saya. Pasti hati ini memerlukan seribu kekuatan dan ketabahan untuk melayari hari-hari mendatang. Kehadirin suami di sisi pasti akan membantu mengurangkan lara di hati. Tapi bagaimana agaknya lara hati seorang anak kecil yang masih memerlukan seorang ibu untuk bermanja?

Saya menziarahi seorang bapa saudara (belah Mr Abe)yang baru kehilangan isteri sebulan yang lalu yang menderita breast cancer. Pemergiannya di usia awal 40-an meninggalkan 7 orang anak yang masih kecil dan masih mendamba tempat untuk mengadu. Si abang sulung baru memasuki alam remaja. Di usia 16 tahun pasti dia masih belum mampu untuk menjaga adik seramai 6 orang yang semuanya lelaki. Si bongsu pula baru berusia 4 tahun. Belum mengerti apa-apa.

Hati keibuan saya tidak mampu menahan air mata ini dari mengalir saat saya melihat wajah suci anak kecil ini. Dia masih sangat kecil. Masih memerlukan kasih seorang ibu untuk mengadu bila si abang mengusik, masih memerlukan hangatnya pelukan seorang ibu untuk bermanja. Sungguh hati saya tidak mampu merenung wajah suci mereka.

Saat melangkah masuk ke rumah mereka saya melihat pak cik saya sedang memegang penyapu. Keadaan rumah yang tidak terurus sebegini tidak pernah saya lihat sebelum ini. Pasti sukar bagi seorang ayah untuk menguruskan anak seramai 7 orang tanpa bantuan isteri yang dicintai. Anak-anak di usia mereka pastinya sedang lasak dan belum pandai untuk mengurus diri sendiri.

Sang ayah ini perlu tabah. Dia masih belajar menerima ujian Allah Yang Maha Besar ini. Masih dalam proses menyesuaikan diri. Nasib baik nenek saya masih kuat dan boleh membantu dia menguruskan rumah dan anak-anaknya. Tapi apalah sangat kuderat seorang nenek yang telah berusia 70-an. Dia sendiri kekadang lupa dimana barang yang diletaknya. Bangun dari duduk pun agak mengambil masa. Hanya kerja-kerja ringan yang mampu dilakukannya.

Saya membawa diri ke dapur. Bukan kerana apa, tapi mencari tempat yang agak terlindung bagi menyeka air mata yang tak mampu tertahan melihat mereka. Saya hanya mampu berdoa agar setiap ahli keluarga ini tabah menerima ujian Allah ini. Dialog si ayah memujuk anaknya malam itu memang meruntun hati saya. kata si ayah 'best ya minum teh susu. Dah lama tak minum air manis kat rumah ye....'Ya Allah, sayunya hati saya. Hati kelakian Mr Abe juga tersentuh dengan dialog si ayah.



Inilah wajah anak kecil yang membuat hati saya meruntun itu. Sangat comel dan petah bercakap. Bila di tanya ibunya di mana, katanya 'mak ade. Dia kat kubur tengah berubat.'

Semoga Allah melindungi anak-anak kecil ini. Dan semoga mereka tabah menghadapi ujian dunia yang sementara ini. Amin ...

No comments:

Post a Comment